6 MAC : Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengesahkan tiada keputusan ataupun laporan yang menunjukkan cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia dalam pelayan (server) dipindahkan ke Malaysia dari Singapura deperti didakwa republik itu.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perkara itu dicapai susulan penyiasatan yang dijalankan.
“Baru-baru ini ada laporan dari Singapura yang menunjukkan ada pedagang atau trade sales yang telah berlaku antara Singapura dengan negara lain.
“Malaysia mungkin terbabit tapi pada masa ini kita telah memulakan penyiasatan bersama-sama dengan agensi berkaitan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak lain termasuk dari Amerika Syarikat (AS).
“Buat masa ini tidak ada lagi keputusan ataupun laporan yang menunjukkan memang ada (berlaku),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Rita Sarimah Patrick Insol yang membangkitkan langkah kerajaan untuk melindungi Malaysia daripada dipergunakan sebagai negara intermediary (perantara) atau pengeksportan semula cip kecerdasan buatan (AI) ataupun peralatan pengeluaran semikonduktor canggih yang dilarang ke negara China.
Terdahulu, Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam mendakwa pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan di republik itu mungkin mengandungi cip AI Nvidia yang kemudiannya dipindahkan ke Malaysia.
MITI kemudiannya mengeluarkan kenyataan akan menyiasat dakwaan tersebut.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menjelaskan kerajaan akan memantau kemungkinan tersebut seperti yang didakwa.
“Tapi pada masa, kerajaan akan terus memantau sama ada ada fraud di mana syarikat yang mengimport server yang mengandungi cip tersebut tidak digunakan seperti yang disebut dalam permintaan untuk mengimport server tersebut.
“Kita akan terus memantau…Selasa ini ada satu lagi mesyuarat. Dan hari ini saya dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo sebagai pengerusi bersama akan mengadakan mesyuarat pertama Pasukan Petugas Khas Pusat Data Bersama ini,” katanya.
Menurut laporan berita Singapura, cip itu dibenamkan dalam pelayan yang dibekalkan oleh Dell dan Supermicro kepada syarikat yang berpangkalan di Singapura sebelum dipindahkan ke Malaysia.