7 MAC : Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa bersama 30 individu lain dianugerah Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah itu sempena sambutan Hari Wilayah 2025 di Balairung Seri, Istana Negara.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Dr Zaliha dan Ketua Pengarah Jabatan WP, Datuk Noridah Abdul Rahim mendahului senarai penerima dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Sementara Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menerima Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk.
Turut menerima gelaran P.M.W adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman; Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan; Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Penasihat Undang-Undang Istaa Negara, Zulhari Abdul Rashid.
Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Johan Mahkota Wilayah (J.M.W) kepada enam penerima, Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W) kepada lima penerima, Ahli Mahkota Wilayah (A.M.W) kepada empat penerima dan Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W) kepada enam penerima.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga kelihatan hadir pada majlis berkenaan.
