6 MAC : Kematian empat penonton konsert Pinkfish Countdown 2024 awal tahun ini akibat penyalahgunaan dadah ketika acara itu berlangsung mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Pelbagai cadangan dikemukakan bagi memastikan penonton bebas daripada penggunaan dadah ketika menghadiri acara hiburan seumpama itu pada masa depan.
Antara cadangan dikemukakan termasuk ujian air kencing secara rawak dalam kalangan penonton, menambah bilangan petugas keselamatan dan perubatan di lokasi serta mewajibkan penggunaan teknologi pengesan dadah di pintu masuk termasuk anjing pengesan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan Selasa lalu, kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melaksanakan ujian air kencing sebagai salah satu syarat pelaksanaan konsert namun kerajaan bersedia meneliti sebarang cadangan serta perubahan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa.

Penganjur konsert tempatan, Mohd Shamil Mohd Yusof berkata ujian air kencing sebelum konsert itu tidak praktikal kerana dadah boleh dikesan dalam sistem badan pada jangka masa tertentu.
“Beberapa jenis dadah boleh dikesan melalui ujian air kencing hanya dalam selepas beberapa jam atau beberapa hari selepas penggunaannya…individu yang menggunakan dadah pada malam sebelum konsert atau beberapa jam sebelumnya mungkin tidak dapat dikesan melalui ujian ini.
“Ini bermakna ujian air kencing tidak dapat menjamin semua individu yang hadir bebas dari penyalahgunaan dadah,” katanya kepada BBCPORTAL.
Shamil berkata tindakan melakukan ujian air kencing kepada semua pengunjung konsert juga tidak dapat menjamin semua individu akan menjalani pemeriksaan tersebut secara adil dan saksama, lebih-lebih lagi di konsert berskala besar, selain ia berpotensi melanggar hak asasi individu.
Mengulas mengenai cadangan agar penganjuran konsert di negara ini dihentikan bagi mengurangkan risiko kemudaratan kepada masyarakat, Shamil berkata ia bukanlah jalan penyelesaian terbaik kerana tidak semua penganjur konsert di negara ini melanggar garis panduan yang digariskan pihak berkuasa tempatan.
Justeru itu, Shamil mencadangkan pendekatan yang lebih berkesan melalui kempen kesedaran seperti tayangan video impak negatif dadah sebelum acara konsert bermula.
“Selain itu, prosedur yang ketat seperti pemeriksaan menyeluruh terhadap barang dibawa masuk dan menambah bilangan anggota keselamatan turut membantu dalam memastikan suasana konsert berada pada tahap terkawal,” katanya.
Seorang remaja, Megat Ahmad Zidane dari Kuala Lumpur berkata menghentikan penganjuran konsert di Malaysia bukan penyelesaian terbaik kerana tindakan tersebut akan mengehadkan pilihan hiburan yang ada di negara ini.
“Konsert merupakan alternatif kepada golongan muda daripada melakukan aktiviti yang tidak sihat..ia memberi remaja satu ruang hiburan dan tempat mengekspresikan perasaan yang positif.
“Menghentikan konsert bukanlah penyelesaian kepada masalah sosial, sebaliknya penganjuran konsert yang selamat dan beretika boleh membantu mengelakkan remaja daripada terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral,” katanya.
*Foto: Facebook Pinkfish Festival
OLEH: AISYAH BADRUL