7 MAC : Semua pemimpin diingatkan agar tidak menunggang isu perkauman di negara ini sebagai senjata politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan peringatan itu susulan tercetusmya pelbagai isu yang menyentuh isu 3R (agama, kaum, raja) sejak kebelakangan ini.
Tegasnya, polemik isu 3R itu hanya akan memusnahkan rakyat.
“Mana-mana parti atau kepimpinan masyarakat janganlah tunggang isu ini untuk kepentingan peribadi kerana jika diteruskan ia akan membakar dan memusnahkan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ternas Jernang, Bandar Baru Bangi, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan perlu bertegas untuk tidak membenarkan sebarang penghinaan berlaku.
“Sikap kerajaan harus tegas, sebarang penghinaan dan merendahkan darjat manusia tidak dibolehkan apatah lagi dalam negara kita yang pelbagai kaum dan agama.
“Islam adalah agama Persekutuan, kita martabatkan namun tetap juga kita harus jaga keharmonian,” katanya.
Sebelum ini, isu 3R kembali hangat diperkatakan selepas beberapa insiden yang tercetus dan tular di media sosial.
Ini termasuk kes tarian kontroversi penyampai radio yang didakwa ada kaitan dengan tarian kavadi, sandwic ‘ham’ tanpa sijil halal dan notis perkauman seorang penjual jagung bakar.

*Foto : Facebook Anwar Ibrahim