7 MAC : Kerajaan mengarahkan semua agensi keselamatan dan penguat kuasa bertindak cepat dan berkesan terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut menggunakan isu perkauman atau agama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan arahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan media usai mesyuarat tersebut.
Menurutnya, Anwar mahu pihak berkuasa bertindak tanpa sebarang kompromi terhadap pelaku.
Katanya, mesyuarat itu turut meneliti pelbagai isu berkaitan termasuk isu hasutan, perkauman dan agama yang menjadi topik hanga di media sosial.
“Semua pihak diingatkan untuk memelihara perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat dengan memupuk persefahaman dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
“(Selain itu) sentiasa mematuhi undang-undang negara demi kesejahteraan bersama,” katanya yang juga Menteri Komunikasi.
Terdahulu, Anwar mengingatkan semua pemimpin agar tidak menunggang isu perkauman di negara ini sebagai senjata politik hanya demi kepentingan peribadi.