7 MAC : Hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak ditetapkan pada 26 April ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengumumkan perkara itu pada satu sidang media khas, hari ini.
Ramlan berkata penamaan calon ditetapkan pada 12 April manakala hari pengundian awal pada 22 April depan.
“Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April.
“Pelaksanaan PRK DUN N.48 Ayer Kuning memerlukan peruntukan sebanyak RM2.5 juta,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, mulai hari ini, urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka.
Selain itu, Ramlan berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK kali ini seramai 31,897 pemilih.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahrudddin, 59 rebah akibat serangan jantung selepas beraksi dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Beliau merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pernah mewakili Perak sekitar 1980-an dan 1990-an.
Allahyarham menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 lalu mewakili Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.
Ishsam dari UMNO mendapat 9,088 undi, PH 6,875 undi, PN 6,812 undi, Parti Sosialis Malaysia 586 undi dan Parti Pejuang Tanahair 105 undi.