7 MAC : Tiada sebarang kenaikan harga melampau yang dikesan berlaku di bazar Ramadan seluruh negara, setakat ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata pemeriksaan terhadap laporan kenaikan harga sudah dijalankan namun tiada kenaikan tidak wajar berlaku.
Katanya, selain bazar, pemeriksaan dijalankan pasukan pemantau KPDN melibatkan pelbagai premis termasuk pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit.
“Ada laporan media mengenai kenaikan harga makanan, namun pemeriksaan kita menunjukkan tidak berlaku kenaikan yang mendadak atau tidak wajar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Zon Utara 2025 di Bazar Ramadan Jalan Mahkamah di Bayan Lepas, hari ini.
Menurutnya, setakat ini KPDN menerima 307 aduan bagi kesalahan seperti kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga serta isu alat timbang dan sukat.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kenaikan harga melampau termasuk melibatkan makanan boleh membuat aduan terus kepada KPDN.
Aduan boleh dibuat melalui kod QR Aduan Suri dan KPDN akan bertindak dalam tempoh 24 jam.
Menurut Fuziah, sejak Januari lalu, KPDN menerima 1,879 aduan di mana secara keseluruhan sejak Januari 2023 sehingga semalam, 36,770 aduan disalurkan melalui Aduan Suri.
Terdahulu, Fuziah melancarkan BRR di bawah program Payung Rahmah di Pulau Pinang dalam usaha kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat yang menawarkan Menu Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah.
“Kami juga menawarkan kad diskaun kepada peniaga yang menjual Menu Rahmah dengan mereka boleh membeli bahan mentah yang tersedia di Jualan Rahmah kami tanpa had, berbanding pengguna biasa,” katanya.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata setiap peniaga yang menawarkan Menu Rahmah di BRR akan menerima insentif e-dompet RM100 serta kad petrol RM50 dengan KPDN.
Katanya, peluang masih dibuka kepada peniaga yang berminat untuk mendapatkan insentif berkenaan sebagai galakan agar lebih ramai peniaga menyertai inisiatif Menu Rahmah.
Setakat ini, terdapat 95 BRR di seluruh negara.
