8 MAC : Polis menerima 261 laporan berkait isu menghina agama Islam dan Hindu di seluruh negara, setakat ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya menerima 73 laporan terhadap kes tarian kavadi penyampai radio, 150 laporan melibatkan seorang pendakwah dan 38 lagi laporan membabitkan dua individu disyaki menghina Islam.
Katanya, kes dua individu itu melibatkan penghinaan agama dan mengeluarkan kata-kata lucah menerusi dua video berasingan.
Sementara pendakwah itu disyaki menghina agama Hindu di laman sosial.
Razaruddin berkata, laporan terbaharu diterima daripada seorang individu berusia 48 tahun di Iskandar Puteri, Johor yang mendakwa pendakwah itu membandingkan kes penyampai radio Era FM itu dengan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang berlaku di Kuil Seafield, Selangor pada November 2018.
“Kes ini kita siasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan telah merakam keterangan individu terbabit (pendakwah).
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa ini,” katanya, lapor Bernama.
Menurutnya, kertas siasatan membabitkan tiga penyampai radio Era FM milik Astro itu masih dalam kajian Pejabat Peguam Negara (AGC) yang diserahkan Khamis lalu.
Setakat ini kata Razarudin polis masih belum mendapat maklumat pemprofilan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkait seorang lelaki yang menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap agama Islam.
“Kita percaya individu ini berada di Melbourne, Australia dan semakan rekod pergerakan keluar dan masuknya masih belum diperolehi daripada pihak Imigresen,” katanya.