8 MAC : Sebuah perkampungan di Korea Selatan, Pocheon diisytihar sebagai kawasan bencana khas selepas dibom tanpa sengaja oleh tenteranya sendiri.
Perkara itu diumum pemangku Presiden merangkap Menteri Kewangan, Choi Sang-mok, hari ini, lapor agensi berita Yonhap.
Sang-mok mengeluarkan arahan itu susulan kerosakan besar dialami susulan kejadian pengeboman, pagi Khamis.
Pengisytiharan itu katanya bagi membolehkan kawasan tersebut menjalani pemulihan segera selain memberi sokongan kepada penduduk yang terjejas.
Kelmarin, sebuah jet pejuang Tentera Udara Korea Selatan tidak sengaja menjatuhkan lapan butir bom di kawasan perumahan di kampung tersebut.
Jet pejuang KF-16 yang sedang menjalani latihan tembakan menjatuhkan lapan bom MK-82 di luar kawasan latihan di Pocheon jam 10.04 pagi, waktu tempatan.
Akibat kejadian itu, 29 orang cedera termasuk tentera dan orang awam selain kerosakan pada struktur bangunan.