Malaysia tolak cadangan ambil alih Gaza
8 MAC : Malaysia tetap berpendirian menolak sebarang rancangan untuk mengilha (annexation) Gaza, Palestin.
Penegasan itu disuarakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataan negara Malaysia pada Sesi Luar Biasa Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), malam tadi.
Tegas Mohamad, cadangan itu satu bentuk ‘pembersihan etnik’ yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
Menurut Mohamad, mengambil alih Gaza itu merupakan satu pelanggaran Perkara 17 Protokol Tambahan II Konvensyen Geneva yang melarang pemindahan penduduk secara paksa di wilayah diduduki.
“Malaysia berpegang teguh dalam menentang cadangan ini kerana ia merosakkan usaha keadilan antarabangsa untuk rakyat Palestin dan membahayakan kestabilan serantau.
“Walaupun gencatan senjata membolehkan rakyat Palestin pulang dan menerima bantuan yang amat diperlukan, namun pelaksanaan fasa kedua masih tergantung kerana rundingan menemui jalan buntu, manakala Israel terus mengambil kesempatan daripada situasi ini.
“Bekalan penting dipotong memburukkan lagi penderitaan rakyat Palestin terutama dalam bulan Ramadan yang mulia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa OIC dan masyarakat antarabangsa memastikan Israel mematuhi kewajipan gencatan senjata.
Selain itu, gesaan juga perlu dibuat agar dipermudah bekalan bantuan kemanusiaan, melaksanakan fasa-fasa seterusnya dalam perjanjian gencatan senjata, menghentikan operasi ketenteraan serta komited terhadap usaha pemulihan dan pembinaan semula Gaza.
Pada masa sama, Malaysia turut mengulang komitmennya untuk memastikan Palestin diiktiraf sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menjamin kedaulatan dan kemerdekaannya.
Katanya, pengiktirafan Palestin bukan sahaja langkah penting ke arah keamanan berkekalan, malah ia juga penting dalam menangani krisis kemanusiaan, membangunkan pentadbiran yang berfungsi serta memperoleh sokongan antarabangsa untuk usaha pemulihan dan pembinaan semula Gaza.
“Saya menyeru OIC dan negara anggotanya agar memberi keutamaan kepada pengiktirafan antarabangsa terhadap Negara Palestin sebagai matlamat utama,” katanya.
Kata Mohamad, Malaysia kekal komited untuk menyokong Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dalam menyediakan perkhidmatan penting kepada pelarian Palestin.
Malaysia juga katanya menyokong prosiding undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa dalam memastikan rejim zionis itu dipertanggungjawabkan atas jenayah yang dilakukan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025, Malaysia akan terus memperjuangkan hak rakyat Palestin dalam perjuangan berterusan mereka untuk mencapai keamanan, keadilan dan kebebasan, sambil menggembleng sokongan antarabangsa menerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali dan Komanwel,” katanya.
