8 MAC : Semua syarikat dalam sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan disaran meneliti semula penglibatan pekerja wanita dalam pengurusan tertinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penglibatan kaum wanita di peringkat itu masih terlalu kecil.
Beliau akan meminta jemaah menteri untuk memberi perhatian kepada perkara berkenaan dan mendapatkan laporan berkaitan.
Namun beliau akur kerajaan tidak boleh memaksa sektor swasta dalam perkara tersebut.
“Saya gesa sektor swasta harus ada pertanggungjawabannya. Sektor swasta terutama syarikat-syarikat besar dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan harus mulai membuat penilaian.
“Syarikat swasta dari segi penyertaan wanita itu agak parah kerana penyertaan mereka yang sangat minimum.
“Dari segi peluang latihan saya sebut, sekarang dari segi dasar negara kita tekankan transformasi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Sambutan tersebut menangkat tema ‘Wanita Beraspirasi, Membina Legasi’.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Setakat ini, penglibatan wanita dalam pengurusan tertinggi dalam sektor swasta masih belum mencapai 30 peratus seperti yang disasarkan manakala sektor awam sudah melebihi sasaran.
Anwar berkata meski peningkatan penglibatan wanita dalam pengurusan tertinggi namun ia masih boleh diperbaiki.
“Kita tidak pilih wanita itu kerana kebetulan…kerana dia wanita.Kita pilih kerana mereka mempunyai peluang dan kewibawaan dengan prestasi yang cemerlang.
“Mereka tidak harus disisihkan, atau ditinggalkan semata-mata kerana kebetulan adalah wanita,” katanya.
