8 MAC : Pemerkasaan terhadap wanita perlu dilaksanakan kerana golongan itu merupakan paksi penting keluarga yang menjadi asas kepada pembangunan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan mana-mana individu hari ini hasil didikan seorang ibu di rumah.
“Kalau mahu kita bangunkan negara, kita harus bangunkan keluarga. Maknanya kita mula membangunkan keluarga itu dengan memperkasa wanita.
“Sebagai ibu dan pendidik…semua kita yang berhasil kerana didikan tentunya ibu bapa tapi lebih ramai yang mengatakan pengaruh dan peranan seorang ibu. Jadi sebab itu pembangunan keluarga itu tidak harus dipinggirkan.
“Keluarga sangat integral, paksi dalam kehidupan masyarakat dan pembangunan negara. Tentunya kesibukan, tuntutan, keutamaan kita menekankan isu-isu lain tetapi tidak boleh dipinggirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Sambutan tersebut menangkat tema ‘Wanita Beraspirasi, Membina Legasi’.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Dalam ucapan sama, Anwar berkata usaha untuk membangun pelbagai sektor di negara ini bergantung kepada pembinaan sahsiah generasi muda yang bermula dengan didikan seorang wanita.
“Jadi apabila kita bicarakan soal keluarga ini, kita lupa…kita mahu jayakan digital, AI (kecerdasan buatan), pendidikan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional ) tapi semua itu berpangkalan kepada pembinaan sahsiah generasi muda yang juga dimulakan oleh keluarga dan wanita.
“Apa yang lainnya sedikit unik dengan MADNI ini? Kita bicara kemampanan ekonomi, teknologi, tenaga baharu, AI dan digital tapi kalau kelainannya adalah kita memupuk nilai.
“Kita meletakkan asas keyakinan, memberikan kesedaran nilai kemanusiaan…itu semua masih lagi bergantung banyak kepada peranan wanita khususnya ibu. Dalam mengejar pembangunan pesat seringkali kita abaikan asas ini,” katanya.
Selain itu, Anwat turut menyentuh soal penyertaan wanita dalam politik yang masih rendah terutama dalam Parlimen.

“Cabaran besar juga dalam dunia politik. Penyertaan wanita itu menyeluruh. Kemenangan calon-calon banyak bergantung kepada undi wanita tapi penyertaan wanita dan penonjolan wanita terutama di Parlimen itu sangat tidak memenuhi sasaran kita yang awal iaitu 14 peratus walaupun sasaran kita sekurang-kurangnya 30 %.
“Ini ruang bagi pimpinan wanita untuk menyatakan tuntutan mereka sebagai syarat menyokong parti-parti dengan memastikan parti memberi peluang tokoh-tokoh wanita menjadi wakil. Ini sejajar dengan dasar kita. Pemerkasaan wanita itu menjadi baris utama,” katanya.
OLEH : HANUM RAJAK