10 MAC : Barisan Nasional (BN) sudah menyenarai pendek calon untuk Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak, bulan depan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata BN tidak berdepan masalah untuk memilih calon yang layak.
Menurutnya, penilaian terhadap calon-calon tersebut sudah dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“BN sudah mula melihat dari segi calon-calon yang berkelayakan dan pada asasnya saya boleh sebutkan di sini BN tidak mempunyai masalah dari segi mencari calon yang sesuai kerana terdapat beberapa calon yang berkelayakan untuk DUN Ayer Kuning,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Kembara Ramadan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2025 di Universiti Sains Malaysia (USM) di George Town, malam tadi.
Menurut Zambry, BN bakal memilih calon yang yang boleh bekerja dan diterima masyarakat setempat.
“Kami tidak mengecualikan sesiapa sama ada wanita, belia atau orang dewasa untuk menjadi calon (DUN Ayer Kuning) malah membabitkan semua kategori diwakili iaitu wanita, belia dan Ahli Jawatankuasa Bahagian
“Kita mahukan calon yang benar-benar boleh menyumbang sebagaimana calon sebelum ini yang telah menunjukkan prestasi yang berkesan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian PRK DUN N48 Ayer Kuning ditetapkan pada 26 April.
Sementara tarikh penamaan calon pada 12 April dan hari pengundian awal pada 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahrudddin, 59 rebah akibat serangan jantung selepas beraksi dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Beliau merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pernah mewakili Perak sekitar 1980-an dan 1990-an.
Allahyarham menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 lalu mewakili Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.
Ishsam dari UMNO mendapat 9,088 undi, PH 6,875 undi, PN 6,812 undi, Parti Sosialis Malaysia 586 undi dan Parti Pejuang Tanah Air 105 undi.