10 MAC : Negara Fiji menyatakan minat terhadap model pembangunan yang diamalkan di Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakan sejawatnya, Sitiveni L. Rabuka turut menyampaikan hasrat untuk mencontohi pendekatan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam memperkasa sektor ekonomi dan pendidikan.
“Saya telah bercakap melalui telefon dengan Perdana Menteri Republik Fiji, Sitiveni L. Rabuka dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan negara kepulauan di Selatan Lautan Pasifik tersebut.
“TYT Rabuka menyatakan minatnya terhadap model pembangunan Malaysia dan ingin mencontohi pendekatan MARA dalam memperkasa sektor ekonomi dan pendidikan.
“Saya menyambut baik hasrat ini dan bersedia berkongsi pengalaman serta kepakaran Malaysia dalam bidang-bidang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu catatan di Facebook, hari ini.
Selain itu, Anwar berkata Malaysia mengalu-alukan pelajar dari republik itu menyertai program-program yang ditawarkan di negara ini.
“Dalam lapangan pendidikan, Malaysia mengalu-alukan kehadiran pelajar dari Republik Fiji, khususnya dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan teknologi maklumat.
“Saya juga menjemput Fiji untuk menyertai program latihan pembangunan kapasiti di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada pembangunan sumber manusia melalui latihan dan perkongsian kepakaran,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengambil kesempatan menzahirkan rasa syukur atas pembukaan semula Suruhanjaya Tinggi Fiji di Kuala Lumpur pada awal tahun ini.
Katanya, ia mencerminkan komitmen tegas Fiji untuk memperkukuh hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Anwar memaklumkan beliau mengundang Rabuka untuk melakukan lawatan rasminya ke Malaysia.
“Saya percaya pertukaran lawatan peringkat tinggi akan terus mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara dan membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK