11 MAC : Lebih 10,000 orang memeriahkan Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianjurkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, malam tadi.
Anwar tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 7 malam disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan timbalannya, Dr Zulkifli Hasan.
Dalam hantaran di Facebook rasminya, Anwar berharap majlis seumpama itu bukan sekadar untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan.
“Semoga majlis seperti ini bukan sahaja mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan sesama kita tanpa mengira pangkat, malah lebih daripada itu.
“Kita jadikan kegiatan ini untuk kıta membuat refleksi dan mempertingkatkan sifat keihsanan sesama insan,” katanya.
Majlis berkenaan dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan 13 agensi hal ehwal agama.
Kumpulan nasyid, Rabbani membuka tirai majlis itu dengan persembahan lagu dan diikuti tausiyah khas bertema ‘Ramadan Pemacu Ummah Madani’ yang disampaikan Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Badlishah Alauddin.
Beliau menyentuh kepentingan sisi manusiawi di sebalik ibadah rutin sepanjang Ramadan yang wajar mempunyai sıfat ihsan.
Selain itu, Mohd Na’im menyampaikan sumbangan duit raya kepada 120 asnaf dari Bukit Bakong, Sepang serta sumbangan kepada sembilan institusi pondok.
Pejabat menteri dalam satu kenyataan memaklumkan program berkenaan menjadi wadah terbaik untuk menyantuni golongan ilmuwan dan agamawan, masyarakat dan golongan asnaf pada bulan Ramadan.
Selain itu, ia juga secara tidak langsung memupuk perasaan muhibah antara satu sama lain.
“Penganjuran program seperti ini adalah manifestasi nyata daripada ajaran Islam, yang mendorong umatnya untuk hidup dalam suasana penuh kasih sayang, saling menghormati dan membantu antara satu sama lain,” kata kenyataan itu.
