12 MAC : Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menempelak pihak yang sengaja menimbulkan perbalahan sekali gus membawa perpecahan.
Titah baginda, semua pihak perlu berdialog dengan akal serta hati dan bukannya rasa benci.
“Berhentilah daripada menjadi ‘badut’ yang mempolemikkan isu raja, agama dan kaum (3R) sehingga mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat.
“Biarkanlah pentas ini terus tenang, tanpa drama yang menyakitkan. Berdialoglah guna akal dan hati, bukan-nya bermonolog guna nista dan benci” titah baginda dalam hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, malam tadi.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat memasyhurkan nama Masjid Baharu Kampung Durian Hijau dengan nama Masjid Abdulrrahman Ibn Auf, Kampung Durian Hijau di Kuantan.
Selain itu, baginda menitahkan agar semua pemimpin politik agar menjadi jambatan perpaduan yang menyatukan rakyat dan bukannya pencetus kepada api yang membakar hubungan harmoni sekian lama terbina.
“Saya menyambut baik kenyataan Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Wan Ismail) baru-baru ini yang menekankan bahawa pemimpin bertanggungjawab menjadi pendamai, bukan pencetus perbalahan.
“Sejarah telah membuktikan bahawa pertelingkahan kaum dan agama, jika tidak dibendung dengan bijaksana, mampu membawa malapetaka.
“Kita tidak mahu sejarah hitam itu berulang hanya kerana kealpaan kita dalam mengurus isu sensitif ini dengan hikmah dan bijaksana,” titah baginda.
Semua lapisan rakyat tanpa mengira agama dianuti juga diingatkan agar tidak mudah melatah dan membuat spekulasi hingga meruntuhkan keharmonian yang dibina hasil daripada sikap saling menghormati serta toleransi selama ini.
“Hormatilah antara satu sama lain, jagalah sensitiviti antara agama dan kepercayaan. Jangan sesekali kita biarkan kejahilan dan keangkuhan, merosakkan apa yang telah lama kita bina bersama,” titah baginda.
