12 MAC : Kerajaan menyifatkan tuduhan berat sebelah dalam bertindak terhadap kes stesen radio menyebabkan Islam ditindas sebagai satu fitnah yang berniat jahat.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata tuduhan dilempatkan itu sememangnya sudah tersasar jauh dari realiti dan fakta sebenar.
Tegasnya, terdapat pihak yang cuba memutar belit fakta berkait kompaun yang dikenakan terhadap pengendali stesen radio itu.
“Saya sudah jelaskan bahawa yang dikenakan kompaun adalah syarikat pemegang lesen, yang mengendalikan stesen radio Era FM iaitu Maestra Broadcast Sdn Bhd dan bukannya era FM itu sendiri mahupun ketiga-tiga penyampai radio.
“Kononnya hukuman yang dikenakan berat sebelah hingga menyebabkan agama Islam ditindas, ini fitnah yang memang berniat jahat dan lari daripada realiti ataupun fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan pengendali stesen radio itu, Maestra Broadcast Sdn Bhd dikompaun sebanyak RM250,000 mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (yang dipinda pada 11 Februari 2025).
Nilai kompaun tersebut diizinkan Jabatan Peguam Negara dan MCMCM juga memaklumkan lesen pengendali itu tidak digantung selepas meneliti hujah-hujah dikemukakan dalam rayuan syarikat tersebut.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan kes penyampai radio itu dengan dua individu iaitu Harith Iskander dan Cecilia Yap serta kedai serbaneka, KK Mart merupakan tiga kes yang berbeza.
“Kalau disebutkan isu berkaita KK Mart siasatan di bawah Kanun Keseksaan dan denda dikenakan adalah sebanyak RM60,000, melalui keputusan mahkamah.
“Manakala bagi kes Harith Iskander dan Cecelia Yap, kes di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Ini kategori individu, bukan syarikat.
“Maka Timbalan Pendakwa Raya bersetuju untuk mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 dan isu ini tidak dibawa ke mahkamah tapi diputuskan…diizinkan Timbalan Pendakwa Raya untuk mengenakan kompaun.
“Ingin saya ingatkan juga kesalahan ini berlaku sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari lalu, di mana sebelum tarikh itu kesalahan boleh dikenakan denda di mahkamah sehingga RM50,000 manakala selepas tarikh itu, denda dinaikkan sehingga RM500,000,” katanya.