12 MAC : Umat Islam di negara ini diseru agar bangkit mempertahankan dan melindungi agama Islam daripada dihina atau diperlekeh.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah umat Islam jangan sesekali berdiam diri apabila agama dihina meski sebagai seorang muslim diajar mengikut resmi padi semakin berisi semakin menunduk.
“Jangan hanya kerana kelembutan dan kesopanan itu ada pihak yang berani memperlekehkan agama kita sesuka hati.
“Islam tidak pernah mengajar kita tunduk kepada penghinaan dan penindasan.
“Sebagai ketua dan pelindung agama Islam di negeri ini saya menyeru agar setiap muslim memainkan peranan, mempertahankan kesucian agama ini dengan hikmah dan kebijaksanaan,” titah baginda melalui hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, malam tadi.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat memasyhurkan nama Masjid Baharu Kampung Durian Hijau dengan nama Masjid Abdul Rahman Ibn Auf, Kampung Durian Hijau di Kuantan, malam tadi.
Dalam program sama, baginda bertitah semua umat Islam harus bersama-sama memikul tanggungjawab mempertahankan agama suci ini.
“Dalam kebijaksanaan dan keadilan pemerintahan, agama-agama lain diberi ruang untuk diamalkan dengan aman dan damai.
“Selagi mana ia tidak menggugat ketenteraman awam dan keharmonian negeri, selagi itulah hak setiap penganut terpelihara.
“Ini bukan sekadar lafaz dalam dokumen perundangan. Islam bukan sekadar agama tetapi suatu amanah yang mesti kita junjung, suatu warisan suci yang mesti kita pertahankan.
“Tidak kira siapa kita, apa warna kulit kita, dari manq asal usul kita, apa pun pangkat dan kedudukan kita. Selagi mana kita bernama muslim kita bertangungjawab mempertahankan agama suci ini,” titah baginda.
Dalam hantaran sama, baginda menzahir rasa dukacita dengan suara-suara sumbang mutakhir ini yang meremehkan kesucian agama serta mencabar kemuliaan Islam seolah-olah tiada batasan dalam berbicara dan bertindak.
“Adakah ini yang dikatakan sebagai sebuah negara merdeka? Atau hanya merdeka pada angka, bukan minda rakyatnya? Fikirkan bersama,” titah baginda lagi
Baginda mengingatkan bahawa dalam sebuah negeri yang berbilang bangsa dan agama, tiada yang lebih utama selain nilai hormat-menghormati serta kesedaran untuk menjaga sensitiviti agama masing-masing.
