UMNO tidak kompromi pihak pertikai kedudukan Islam
12 MAC : UMNO tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempertikai kedudukan Islam di negara ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya memandang serius perkembangan mutakhir yang menyentuh sensitiviti 3R (agama, kaum dan raja).
“UMNO memandang serius perkembangan semasa yang melibatkan isu-isu berkaitan sensitiviti keagamaan, perkauman dan Institusi Raja-Raja Melayu hingga mencetuskan kegelisahan dan ketidaktenteraman dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.
“UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempertikai, meremeh ataupun mencabar asas-asas penting yang menjadi teras kestabilan negara.
“Terutamanya kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan serta keistimewaan Melayu-Bumiputera tanpa sesekali menafikan hak kebebasan beragama dan berbudaya yang dijamin Perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, UMNO menyeru seluruh rakyat Malaysia kekal mempertahankan prinsip Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan.
“Ia sebagai asas penting yang membina negara bangsa sejak merdeka. Keindukan Islam dan Melayu-Bumiputera dalam sifat kemajmukan Malaysia mesti terus dipelihara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan UMNO akan menggerakkan jentera dari seluruh negara untuk membantu dalam Pilihan Raya Kecil N48 DUN Ayer Kuning di Perak.
Selain itu, UMNO juga memutuskan Persidangan UMNO cawangan diadakan pada 7 April hingga 25 Mei depan.
Sementara Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dijadual pada 9 Jun hingga 27 Julai manakala Perhimpunan Agung UMNO pada 20 Ogos hingga 23 Ogos ini.

*OLEH : HANUM RAJAK