13 MAC : Kerajaan MADANI berjaya menyelesaikan sebanyak sembilan tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), setakat ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPM63) yang pertama bagi tahun ini.
“Mesyuarat ini amat penting bagi membolehkan kerajaan merencana tindakan-tindakan susulan yang pragmatik berhubung status perkara/tuntutan di bawah MA63 yang masih belum selesai dilaksanakan selaras dengan keputusan Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 12 September 2024,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menyenaraikan sembilan tuntutan tersebut iaitu pertama, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri Sabah serta Negeri Sarawak sebagai jabatan teknik di bawah arahan Perbendaharaan 182 (AP182).
Kedua, pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN sementara ketiga, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Negeri Sabah.
Diikuti, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak; penyediaan garis panduan penyerahan semula tanah direzabkan bagi maksud Persekutuan di Negeri Sabah dan Negeri Sarawak; penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah; serta cadangan pindaan perkara 95B Perlembagaan Persekutuan mengenai ubah suaian bagi Negeri Sabah dan Sarawak mengenai pembahagian kuasa perundangan.
Selain itu, penukaran status Pelabuhan Bintulu dari Pelabuhan Persekutuan ke pelabuhan negeri; dan tenaga buruh di Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, pada mesyuarat itu telah membincangkan enam kertas pembentangan oleh beberapa Kementerian/ Jabatan yang berkaitan.
Ini termasuk status tindakan bagi perkara-perkara di bawah Kementerian Kewangan; laporan mesyuarat jawatankuasa kerja berkenaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak; dan cadangan pindaan Item 25A (Pelancongan) Dalam Senarai I (Persekutuan) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan (PP) Kepada Senarai III (Bersama) Jadual Kesembilan PP.
Selain itu, turut cibentang kertas kerja pembangunan kawasan sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan; laporan mesyuarat jawatankuasa tindakan bersama pembangunan kesihatan Sabah dan Sarawak; dan laporan mesyuarat jawatankuasa tindakan bersama pembangunan pendidikan Sabah dan Sarawak.
“Semua keputusan yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Di Bawah MTPMA63 pada hari ini akan dibawa ke Mesyuarat MTPAM63 yang akan datang untuk pertimbangan dan persetujuan.
“Perkara/tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal Di Bawah MTPMA63,” katanya.
*Foto : Facebook Fadillah Yusof