14 MAC : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka 99 kertas siasatan selepas melaksanakan Ops Campur.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia sebanyak 17 sampel kampit beras disita dalam pemeriksaan terhadap 308 premis pengilang dan pembungkus beras di seluruh negara itu.
Katanya, sampel itu sudah dihantar ke Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk diuji.
“Menerusi teknologi pencapjarian, sekiranya ditemukan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) beras tempatan di dalam sampel beras import tersebut, tindakan selanjutnya akan diambil untuk membawa pesalah ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Hari Bersama NGO Kepenggunaan di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengesahkan memang berlaku beras tempatan dan import yang dicampur dalam satu kampit di mana ia amalan yang sudah dibuat sejak dulu lagi.
Dalam pada itu, Armizan berkata kementeriannya melihat kemungkinan perihal dagangan palsu dalam penjualan beras dalam melindungi kepentingan pengguna.
“Rakyat di luar sana bercerita mereka tidak mendapat bekalan, jadi apabila kita lihat bila KPKM secara rasmi mengumumkan tiada peruntukan jelas, maka KPDN melihat ruang untuk melindungi kepentingan rakyat dan pengguna menggunakan Akta Perihal Dagangan 2011.
“Di bawah akta ini ada peruntukkan yang melihat kepada kesalahan untuk membuat perihal dagangan palsu. Jadi kalau mana-mana pihak menjual beras contohnya menjual beras dengan label import tetapi ada kandungan beras tempatan bermakna ia ada membuat perihal dagangan palsu,” katanya.

*Foto : Facebook Armizan Mohd Ali