14 MAC : Kelulusan kewarganegaraan tertakluk kepada peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan perkara itu susulan satu hantaran fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
Beliau menepis tuduhan dibuat satu hantaran kononnya beliau meluluskan kewarganegaraan rakyat China kerana kuasa dimiliknya sebagai menteri.
“Kenyataan ini adalah fitnah. Kelulusan kewarganegaraan adalah tertakluk peruntukan oleh Perlembagaan Persekutuan yang telah termaktub sejak sekian lama.
“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti dalam gambar fitnah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam hantaran itu, seorang pelayar media sosial memuat naik sekeping gambar yang disunting.

Dalam pada itu, Saifuddin mengingatkan semua pihak bahawa fitnah yang dilemparkan itu sangat tidak bertanggungjawab dan bahaya.
“Sepanjang tahun lepas, saya telah banyak memberikan penjelasan tentang isu kewarganegaraan ini. Namun masih ada lagi pihak yang membuat fitnah dengan permainan sentimen yang berbaur 3R (agama, kaum dan raja).
“Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini sangat bahaya, ianya mampu mengganggu gugat keselamatan dan keamanan rakyat di dalam negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai memastikan kesahihan maklumat sebelum dikongsi kerana ia boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Saya menggesa agar rakyat dan netizen mendapatkan maklumat daripada sumber yang betul dan tepat, sahkan dahulu sebelum ianya dikongsi.
“Saya ingatkan juga bahawa menularkan fitnah dan berita palsu ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK