14 MAC : Lebih ramai pelajar sekolah berasrama penuh (SBP) memilih aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk melahirkan 60,000 jurutera pada masa depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sasaran itu diperlukan bagi memenuhi keperluan pasaran kerja.
Katanya, STEM membuka ruang lebih besar kepada pelajar terbabit melanjutkan pengajian dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
“Semua SBP telah diberikan penekanan bahawa 70 peratus ini hendaklah bertumpu kepada STEM.
“Ini bagi memberikan bekalan kepada universiti MTUN supaya pelajar lepas sekolah menengah yang mempunyai keputusan baik dalam bidang STEM ini dapat terus disalurkan ke universiti MTUN ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan kerjanya di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), hari ini.
Pada Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar 70 peratus pelajar di SBP di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) memilih aliran STEM mulai tahun hadapan.
Kata Anwar, usaha meningkatkan minat dan penyertaan pelajar dalam STEM perlu dimulakan segera memandangkan ia merupakan bidang yang penting.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di UniMAP dilihat mampu berada di barisan hadapan dalam melahirkan 60,000 jurutera yang diperlukan itu.
Justeru itu, katanya yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, pihaknya akan terus membantu UniMAP yang turut melaksanakan latihan dalam bidang TVET Aras Tinggi atau Hi-TVET.
