15 MAC : Afrika Selatan kesal terhadap Amerika Syarikat (AS) selepas dutanya ke AS, Ebrahim Rasool diusir.
Pejabat Presiden Afrika Selatan dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya mengambil maklum terhadap pengusiran itu.
Pada masa sama, Pejabat Presiden menggesa semua pihak berkepentingan yang terbabit supaya mengekalkan adab diplomasi dalam menangani perkara berkenaan.
“Afrika Selatan kekal komited membina hubungan yang saling memanfaatkan dengan AS,” menurut kenyataan itu, lapor Xinhua
Semalam, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio mengisytiharkan Rasool sebagai ‘persona non grata’ susulan ucapannya yang mengkritik Presiden Donald Trump.
Rasool mendakwa Trump mengetuai gerakan keagungan kulit putih global dan bertindak melanggar norma serta amalan diplomasi yang sudah sekian lama terjalin.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tindakan Trump menandatangani perintah eksekutif, Februari lalu bagi memotong bantuan kewangan kepada Afrika Selatan.
Trump tidak bersetuju dengan dasar tanah negara itu dan mendakwa Kerajaan Afrika Selatan merampas tanah pertanian milik kaum minoriti Afrikaner.
Tindakan Trump itu juga susulan kes genosid yang difail Afrika Selatan terhadap sekutu AS, Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.