15 MAC : Malaysia tetap komited memperkukuh peranan ASEAN di peringkat global, memperdalam perkongsian strategik dan memperkukuh kerjasama serantau di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ulasannya bertajuk ‘The Global South’s Path to Economic Resilience’ yang diterbitkan di laman Project Syndicate semalam, Anwar berkata kemerosotan multilateralisme serta peningkatan ketidakpercayaan dalam hubungan antarabangsa tidak seharusnya diterima sebagai kebiasaan baharu.
Dalam pada itu beliau menggesa tindakan kolektif untuk mempertahan keamanan dan memastikan orde antarabangsa yang stabil.
“Bagi negara seperti Malaysia dan anggota ASEAN yang lain, kemerosotan kerjasama pelbagai hala serta peningkatan rasa sangsi mewakili satu kenormalan baharu yang berbahaya.
Tetapi keadaan ini bukanlah sesuatu yang ‘normal’. Untuk mengemudi dalam tempoh yang tidak menentu ini, kita mesti kekal teguh dalam matlamat kita dan bertindak dengan penuh keyakinan,” tulisnya, lapor Bernama.
Tegas Anwar, ASEAN iaitu blok yang merangkumi hampir 690 juta penduduk perlu memainkan peranan aktif dalam membentuk dasar global dan tidak sekadar menerima keputusan dibuat pihak lain.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan berusaha menggiatkan semula platform dialog serantau termasuk ASEAN+3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur, yang menyediakan ruang neutral serta konstruktif bagi perbincangan strategik dan keselamatan dalam kalangan kuasa besar.
“Malaysia akan terus mempromosikan pendekatan yang inklusif dan mampan dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan, baik dalam rantau kita mahupun di peringkat global. Kita mesti memastikan suara ASEAN bukan sahaja didengar tetapi dihormati di pentas antarabangsa,” katanya.
Merujuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sebagai contoh transformasi, Anwar menekankan kemajuan rantau itu dalam tadbir urus, pertahanan, keupayaan teknologi serta kemajuan sosial termasuk pemerkasaan wanita.
Tegasnya, ASEAN bukan sekadar memerhati perubahan ini tetapi turut terlibat secara aktif.
“Pada Mei ini, Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang bertujuan mengukuhkan hubungan antara dua kumpulan serantau yang dinamik ini,” katanya.
Anwar menulis untuk Project Syndicate sejak 2019 iaitu sebuah organisasi media antarabangsa bukan berasaskan keuntungan yang menerbit dan menyebarkan ulasan serta analisis pelbagai isu global oleh pemikir, pembuat dasar juga aktivis sivil terkemuka dunia.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim