15 MAC : Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan yang membimbangkan pada kebencian dan diskriminasi terhadap umat Islam di seluruh dunia.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa platform teknologi dalam talian memainkan peranan dan mengekang ucapan kebencian itu daripada terus menyebar.
Dalam ucapan disampaikan Ketua Stafnya, Courtenay Rattray di Perhimpunan Agung PBB, Guterres bimbang terhadap peningkatan diskriminasi, pengasingan dan keganasan yang dihadapi umat Islam terutama ketika mereka menjalani bulan suci Ramadan.
“Daripada profil perkauman dan dasar diskriminasi yang melanggar hak asasi manusia, hingga keganasan secara terang-terangan terhadap individu serta tempat ibadah.
“Serangan terhadap umat Islam ini adalah sebahagian daripada ancaman lebih besar yang melibatkan ekstremisme, intoleransi dan keganasan terhadap kumpulan agama serta komuniti rentan,” katanya.
Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia ditetapkan Perhimpunan Agung PBB pada 15 Mac 2022 melalui resolusi yang diperkenalkan Pakistan bagi pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Resolusi itu bagi memberi kesedaran tentang peningkatan Islamofobia di peringkat global serta memperkukuh komitmen antarabangsa bagi menentang diskriminasi, pengasingan dan keganasan terhadap umat Islam.
Guterres turut menekankan kepentingan melindungi hak asasi manusia sambol menegaskan serangan terhadap mana-mana kumpulan agama adalah ancaman terhadap kebebasan semua pihak.
Kerajaan di seluruh dunia turut digesa agar melindungi kebebasan beragama, memupuk perpaduan sosial serta menangani peningkatan ucapan kebencian dan gangguan di platform digital.
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa agar menentang xenofobia, diskriminasi dan prasangka serta membina masyarakat yang inklusif bagi memastikan setiap individu boleh hidup dalam keadaan aman tanpa mengira kepercayaan agama.