17 MAC : Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun bukan perkara baharu sebaliknya ia seiring dengan kerangka reformasi.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan langkah mengehadkan tempoh pentadbiran itu bagi memastikan pentadbiran yang bersih.
“Beliau menyifatkan ia seiring dengan visi dan kerangka dasar reformasi yang ditekankan beliau dalam Gagasan Membangun Negara MADANI kerana ia bukan perkara baharu.
“Langkah tersebut bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih serta sistem yang lebih teratur dan mengelak berlakunya pemusatan kuasa yang berisiko menjadi ruang penyelewangan dan penyalahgunaan kuasa.
“Malah terdapat juga beberapa negara yang sudah pun menggunakan pendekatan ini contohnya Indonesia,” katanya.
Tunku Nashrul berkata demikian pada sesi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Katanya, Anwar juga berpandangan langkah mengehadkan tempoh keperdanamenterian itu mengambil kira landskap geopolitik hari ini dan masa depan yang memerlukan iltizam semua pihak memberi ruang kepada nafas-nafas baharu serta barisan pelapis kepimpinan negara.
Dalam pada itu katanya, Anwar mengingatkan pembangkang agar tidak mempolitikkan perkara itu.
“Perdana Menteri turut mengingatkan segelintir pihak daripada blok pembangkang agar tidak menjadikan niat murni ini sebagai bahan politik perkauman sempit dan dangkal.
“Roh dan sifat jawatan perdana menteri itu sudah terang lagikan bersuluh seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Menghadkan tempoh jawatan itu nyata tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas tersebut. Malah, ia adalah langkah penting dalam menjamin kematangan demokrasi negara,” kata Tunku Nashrul.
Menurutnya, Anwar meminta mana-mana ahli Parlimen yang mempersoal perkara ini supaya membaca sebelum mengkritik secara semberono.
“Baca dan hadam buku tulisan Anwar Ibrahim yakni ‘Membangun Negara Madani’. Sila rujuk muka surat 181, di bawah tajuk ‘Dasar Keutamaan Untuk Malaysia Yang Lebih Baik.
“Justeru, Perdana Menteri menyarankan agar ia dibahaskan dengan sihat dan penuh rasa tanggungjawab serta memandang kepada cabaran masa hadapan selain menjemput semua pihak untuk memberikan input ke arah sebuah sistem yang telus dan adil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tunku Nashrul berkata Anwar mahu agar kerjasama berterusan serta sinergi baharu terjalin antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri susulan lawatannya ke negeri, minggu lalu.
“Dalam lawatan tersebut, beliau sekali lagi meminta kerjasama berterusan serta sinergi baharu antara Kerajana Persekutuan dan kerajaan negeri. Perdana Menteri juga percaya siri pertemuan antara kedua-dua pihak ini penting bagi mengemaskini serta menambah baik perkhidmatan buat rakyat keseluruhannya.
“Antara yang menjadi fokus adalah kebajikan rakyat dari segi infrastruktur, pendidikan, kesihatan, projek tebatan banjir dan jalan raya selain beberapa isu lain yang akan terus dipantau agensi-agensi terlibat,” katanya.
Minggu lalu, Anwar turun ke Selangor, Perak dan Negeri Sembilan sementara beliau dijadualkan ke Pulau Pinang esok sebelum meneruskan lawatannya ke Terengganu dan Sabah.
*OLEH : HANUM RAJAK