17 MAC : Pemilik akaun Facebook, Ainon Mohd yang membuat hantaran menghina Nabi Muhammad SAW dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), hari ini.
Jabatan itu memaklumkan dalam pertemuan itu pihaknya menegur tindakan wanita itu dan menuntut kenyataan tidak bertanggungjawab itu diturunkan.
“JAKIM memanggil dan mengadakan pertemuan dengan pemilik Facebook iaitu Ainon Mohd yang memuat naik hantaran dengan mengaitkannya dengan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.
“JAKIM telah membuat teguran dan menggesa beliau menurunkan kenyataan tersebut. Beliau bersetuju agar hantaran berkenaan diturunkan daripada media sosial dengan mengemukakan permohonan maaf,” kata JAKIM dalam satu kenyataan, malam ini.
Terdahulu, polis dilaporkan menyiasat hantaran menghina Nabi Muhammad SAW dibuat seorang pemilik akaun Facebook, Ainon Mohd selepas menerima 13 laporan di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata kes itu juga dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk diturunkan hantaran tersebut.
Warga emas itu mengundang kemarahan umat Islam selepas memuat naik hantaran yang mengaitkan Nabi Muhammad SAW dengan amalan nepotisme dan kronisme.
Dalam pada itu, JAKIM berkata Ainon yang berusia 75 tahun itu berjnaji tidak akan mengulangi perbuataannya.
“…seterusnya menasihati agar berhati-berhati dalam memuat naik apa-apa kandungan berunsur Islam serta merujuk kepada pihak berautoriti bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.
“Beliau berjanji tidak akan mengulangi perkara yag sama dan akan lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan yang dihasilkan,”kata JAKIM lagi.
Difahamkan pertemuan tersebut turut disertai pegawai daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Dalam pada itu, JAKIM menyeru semua pihak agar tidak mencetuskan kekeliruan dan kegelisahan awam dengan menimbulkan apa-apa perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan Baginda sebagai utusan Allah SWT serta mengganggu keharmonian umat Islam di negara ini.
“JAKIM menghargai setiap usaha yang dilakukan para pemain industri penerbitan buku di Malaysia dalam memandaikan umat melalui medium tersebut dan sebagai salah satu medium dakwah.
“JAKIM berharap agar semua pihak lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membuat sandaran kepada baginda Nabi Muhammad SAW demi menjaga kesucian nama serta martabat baginda sebagai utusan Allah SWT,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK