17 MAC : Umat Islam diajak mendekatkan diri dengan Al-Quran dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap sempena hari Nuzul Al-Quran esok, umat Islam akan terus istiqamah menjadikan Al-Quran itu sebagai pedoman hidup.
“Bersempena Nuzul Al-Quran yang dirai ini, marilah kita mendekatkan diri kepada kitab suci ini, mentadabbur ayat-ayatnya dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.
“Semoga kita terus istiqamah menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup serta mewariskan kefahaman dan kecintaan terhadapnya kepada generasi akan datang. Selamat menyambut Nuzul Al-Quran 1446H,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Al-Quran bukan sekadar bacaan namun ia petunjuk (hudan), pembeza antara yang hak dan batil (furqan) serta sumber rahmat dan penyembuh (syifa’) bagi mereka yang menghayatinya.
“Marilah kita mengambil ibrah daripada peristiwa Nuzul Al-Quran serta menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan panduan dalam kehidupan.
“Dengan ledakan maklumat dan perkembangan dunia yang semakin menginjak pantas adalah penting untuk kita kembali merujuk kepada kitab Al-Quran sebagai asas utama yang bersifat ‘evergreen’ dan sesuai dirujuk sepanjang zaman,” katanya dalam catatan di Facebook rasminya.
