17 MAC : Jepun mengenakan fi sebanyak 4,000 yen (AS$27) kepada pendaki yang menggunakan empat laluan di Gunung Fuji, bermula musim panas ini.
Keputusan itu diwarta selepas cadangan kerajaan Wilayah Shizuoka diluluskan dewan undangan tempatannya, hari ini.
Memetik laporan Agensi Berita Kyodo dewan undangan Wilayah Shizuoka juga meluluskan ordinan sekatan akses ke tiga laluannya mulai jam 2 petang hingga 3 pagi.
Kerajaan Wilayah Shizuoka menguruskan denai Fujinomiya, Gotemba dan Subashiri sementara denai Yoshida diurus Kerajaan Wilayah Yamanashi.
Sekatan itu dikatakan bagi mengelak aktiviti ‘pendakian peluru’ semalaman atau cubaan mendaki puncak gunung tertinggi Jepun itu tanpa berehat.
Keputusan berkenaan susulan tindakan Wilayah Yamanashi yang menguruskan laluan paling popular itu mahu menggandakan bayaran kepada 4,000 yen bagi pendaki gunung setinggi 3,776 meter itu mulai musim panas ini.
Fi itu dikenakan kerana kerajaan wilayah tersebut bimbang berlaku kesesakan dan kesannya terhadap alam sekitar.
Sementara itu, Kyodo News melaporkan ordinan terbaharu itu akan berkuat kuasa 9 Mei, sebelum musim pendakian bermula pada Julai.
*Foto : Facebook Steven Veale