17 MAC : Mana-mana pihak yang tidak terlibat dalam rundingan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) berkait pengedaran gas diingatkan agar tidak membuat andaian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sebarang pembangunan di Sarawak dalam rundingan itu akan memberi manfaat kepada negeri dan negara.
“Orang yang tidak tahu apa yang berlaku dalam lingkungan perbincangan seeloknya jangan membuat andaian. Yang pasti, semua melihat kepada kepentingan negara dan pada masa yang sama kepentingan Sarawak juga perlu diimbangi.
“Apa sahaja pembangunan kalau Sarawak mendapat manfaat, pastinya Kerajaan Persekutuan pun akan dapat sebab cukai pun akan dibayar kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Jelajah Bazar Ramadan di Matang Jaya, Kuching, hari ini.
Beliau mengulas tindakan pihak tertentu yang berusaha melaga-lagakan PETRONAS dan PETROS selepas keduanya menjalin kerjasama, baru-baru ini.
Sabtu lalu, Petronas dalam satu kenyataan memaklumkan sedang bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak dan PETROS berkait perincian peranan masa depan PETROS sebagai agregator gas di negeri itu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan akan mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri Sarawak bagi memperincikan skop kerjasama PETRONAS dengan PETROS.
