18 MAC : Seramai 15 pejuang Palestin yang dibebaskan dalam perjanjian gencatan senjata fasa pertama akan dibawa ke Malaysia.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu sesuai dengan syarat perjanjian gencataan senjata itu yang dipersetujui negara-negara di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Katanya, di bawah perjanjian itu, tahanan yang dibebaskan Israel tidak dibenarkan pulang ke Palestin.
“Syarat gencatan senjata sementara yang dipersetujui sebelum ini, hasil inisiatif Kerajaan Qatar, Republik Arab Mesir dan Amerika Syarikat, menyatakan tahanan yang dibebaskan tidak boleh pulang ke Gaza atau kampung halaman mereka.
“Kita bersetuju dengan cadangan itu kerana keutamaan kita adalah memastikan gencatan senjata tercapai. Selain Hamas membebaskan tawanan perang mereka dan Israel pula melepaskan tahanan Palestin yangditahan tanpa bicara selama bertahun-tahun. Ada yang sehingga 70 tahun (ditahan) sejak usia 20 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Khatam al-Quran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) Pekerti Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata angka itu diyakini tidak membebankan sebaliknya memadai dan dijangka dibawa ke negara ini dalam masa terdekat selepas urusan dokumentasi selesai.
“Kita sedang meneliti dan menghantar pasukan bagi memilih individu yang akan dibawa ke sini.
“Bukan sahaja Malaysia, malah Turkiye, Mesir, Pakistan dan Indonesia turut mengambil bahagian dalam usaha ini sebagai negara anggota OIC,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap rakyat Malaysia tidak salah faham dengan usaha kerajaan itu susulan ia sebahagian daripada tanggungjawab antarabangsa negara.
“Saya harap rakyat Malaysia yang berjiwa besar tidak salah anggap. Jangan kata ‘kera di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan’. Itu tidak benar.
“Kita bukan menyusukan kera di hutan, sebaliknya kita menjalankan tanggungjawab antarabangsa. Lebih-lebih lagi sebagai negara yang lantang menyokong perjuangan Palestin,” katanya.
Mengulas soal lokasi penempatan kelak, Mohamad berkata ia akan diputuskan kemudian namun kaedahnya sama seperti pelarian Syria yang sebelum ini dibawa masuk ke negara ini.
“Jika dibandingkan dengan negara lain seperti Lubnan dan Mesir yang menerima ratusan tahanan, Malaysia hanya mengambil 15 orang sahaja.
“Ini adalah sumbangan kecil kita bagi memastikan gencatan senjata dapat diteruskan dan perdamaian berkekalan di Gaza serta Palestin,” katanya.