18 MAC : Barisan kepimpinan PKR baharu yang bakal dipilih Mei depan terletak pada tangan perwakilan untuk membuat pilihan.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata semua pihak perlu bersikap terbuka terhadap apa jua keputusan pemilihan itu nanti.
“Terpulang kepada anggota parti yang akan menjadi perwakilan ke Kongres Nasional Khas PKR di Johor nanti untuk memilih saf kepimpinan yang mereka anggap sesuai dengan hala tuju yang dinginkan bagi parti.
“Saya melihat, sama ada kalah atau menang, parti harus bersikap terbuka dan merangkul kekuatan semua ahli yang ingin bersama membina sebuah negara MADANI,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bazar Kraf Aidilfitri anjuran Persatuan Pengusaha Batik Terengganu di Kompleks Kraf di ibu negara, hari ini.
Beliau mengulas tentang pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden PKR.
Sebelum ini, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden PKR.
Fahmi juga mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Lembah Pantai selepas jawatan tersebut tidak dicabar dalam pemilihan parti pada April ini.
Dalam pada itu, Fahmi mengingatkan ahli PKR agar mematuhi peraturan dan mengamalkan budaya pemilihan yang harmoni.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berharap semua pihak dapat menerima keputusan pemilihan itu nanti dengan semangat kesepaduan.
“Harapan saya, seperti kata pepatah Melayu lama, ‘biduk lalu, kiambang bertaut’. Apa pun keputusannya nanti, kita adalah satu pasukan dan kita mahukan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.