18 MAC : Setiap kementerian dan agensi diharap dapat menumpu kepada kelancaran projek-projek pembangunan di Pulau Pinang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif pembangunan itu penting dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Perkara itu disuarakan beliau usai menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri di Pulau Pinang, hari ini.
“Besar harapan agar setiap kementerian dan agensi berkaitan memberi perhatian khusus dan bertindak segera bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek-projek di Pulau Mutiara ini secara berkesan.
“Inisiatif pembangunan ini penting bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya penduduk miskin bandar dan penduduk luar bandar yang bakal menikmati manfaat jangka panjang,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam satu hantaran di akaun Facebook rasminya, hari ini.
Mesyuarat itu turut disertai Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai kanan Persekutuan juga negeri.
Menurut Anwar, dalam mesyuarat itu fokus diberi kepada projek pembangunan di Pulau Pinang dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan pendidikan.
“Perbincangan memberi fokus kepada senarai Projek Keutamaan Negeri Pulau Pinang dalam RMK13 yang melibatkan aspek infrastruktur jalan raya, bekalan air, kesihatan, pendidikan, sukan, perlabuhan perikanan dan perbandaran nelayan untuk diteliti selanjutnya.
“Saya turut memberi penekanan kepada usaha membaikpulih serta membina sekolah baharu di Pulau Pinang selain beberapa lagi projek penting yang akan memberikan kebaikan dan keselesaan buat rakyat terbanyak,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK