19 MAC : Kementerian Dalam Negeri menyita 734 naskah al-Quran dan 19,682 bahan al-Quran yang tiada perakuan dengan anggaran nilai RM502,737 bagi tempoh 7 hingga 12 Mac lepas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sitaan itu dilaksanakan di bawah Ops Mulia bagi memantau dan mengawal selia Akta Percetakan Teks al-Quran 1986.
“Sepanjang Ramadan ini, mulai 7 hingga 26 Mac kita sedang menggerakkan Ops Mulia bagi memantau dan mengawal selia Akta Percetakan Teks al-Quran 1986.
“Sepanjang tempoh ini kami akan memeriksa syarikat percetakan, premis dan individu. Setakat 12 Mac lepas, kami telah memeriksa 794 buah premis,” katanya sambil menyeru masyarakat mendapatkan naskhah al-Quran yang diperakui KDN bagi memastikan kesahihan dan kesuciannya terpelihara.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni Sempena Sambutan Nuzul Al-Quran dan Ihya Ramadan di Masjid Al-Islah, Kampung Permatang Kerat Telunjuk, Bandar Baharu, semalam.
Operasi itu dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN.
Menurut Saifuddin Nasution, KDN membuka 88 kertas siasatan susulan operasi itu berbanding 160 tahun lalu.
Katanya, dalam operasi sama tahun lalu, KDN memeriksa 822 premis dan menyita 8,212 naskah al-Quran dan 11,694 bahan al-Quran bernilai RM2.7 juta.
“Adalah penting untuk saya tekankan bahawa sepanjang Ramadan ini pun Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan terus beroperasi bagi memastikan kemuliaan serta kepatuhan terhadap undang-undang ini dapat dihayati dengan baik oleh masyarakat,” katanya.
Sementara Ops Cetak yang dijalankan sepanjang tahun lalu, KDN memeriksa 1,759 dan 20,000 pelbagai bahan penerbitan disita dengan anggaran nilai RM1.2 juta.
Menurutnya, Ops Cetak dijalankan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi menangani penerbitan yang tidak diingini.
