Insiden tampar: Henti tindakan bertentangan semangat perpaduan
19 MAC : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur insiden seorang pemuda bukan Islam yang makan di khalayak pada bulan Ramadan ditampar, baru-baru ini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata Anwar menegaskan sebarang tindakan yang bertentangan dengan semangat perpaduan dan keharmonian negara perlu dihentikan.
“Apa gunanya kita bicara soal Islam serta keindahannya, terutama di bulan Ramadan, sekiranya ia tidak membina kekuatan dalaman dan menjauhkan kita dari sikap yang bengis dan mengancam keamanan dan kerukunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Sebelum ini, tular seorang pemuda bukan Islam mendakwa ditampar seorang lelaki warga emas gara-gara tidak berpuasa di sebuah kedai serbaneka dalam pusat beli belah di Johor.
Menurut Tunku Nashrul, Anwar menyifatkan isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini boleh dielak.
“PM percaya isu yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan bangsa ini boleh dielakkan jika semua pihak patuh dan komited mengamalkan prinsip hormat menghormati antara satu sama lain bagi membina sebuah negara yang bertamadun,” katanya.
Abdul Razak Ismail, 65 mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap pemuda itu di premis kedai serbaneka pada jam 3.45 petang, Ahad lalu.
Mahkamah Majistret Johor Bahru kemudiannya melepas tanpa membebaskan (DNAA) Abdul Razak.
Majistret A Shaarmini membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam memaklumkan mendapat arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.
Dalam perkembangan lain, Anwar juga katanya membangkitkan usaha beberapa pihak yang begitu komited menabur fitnah terhadapnya meski di bulan Ramadan.
“Dalam beberapa hari ini juga, meski di bulan Ramadan terdapat usaha giat beberapa pihak yang terus komited menabur fitnah tanpa henti kepada Perdana Menteri dengan berbagai siri dan cerita lapuk yang diulang-ulang.

“Ini menunjukkan keterdesakan pihak-pihak ini untuk cuba mempengaruhi minda masyarakat serta kontangnya idea mereka dalam usaha membangun negara,” katanya.
Kata Tunku Nashrul, pihaknya akan memantau usaha itu bagi memastikan ia tidak melemahkan semangat dan niat untuk menjamin kesejahteraan.
“Memanjangkan fitnah terutama di bulan Ramadan merupakan serendah-rendah akhlak dan ditegah keras oleh Islam.
“Namun, kita akan terus memantau rapat agar ia tidak akan sesekali menggugat serta melemahkan semangat serta niat kita dalam menjamin kesejahteraan pada negara dan rakyat,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK