20 MAC : Kerajaan dijangkan mengumumkan diskaun tol sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam masa terdekat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan akan menggunakan potongan separuh daripada kadar tol biasa atau diskaun 50 peratus seperti diumumkan ketika Tahun Baharu Cina
“Memang kita akan ada (diskaun) sebab kita sudah buat untuk Tahun Baharu Cina, takkan kita tak buat untuk Aidilfitri.
“Apa yang kita buat untuk Tahun Baharu Cina…50 peratus. Sabar sedikit sebab kita kena perhalusi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat pengurusan tertinggi Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Kerja Raya, hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata perkara berhubung potongan kadar tol tidak dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.
Dalam mesyuarat itu, Anwar meluangkan masa hampir satu jam yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menurut Nanta, Anwar yang juga Menteri Kewangan mahu setiap projek disegerakan dan memastikan ia setara dengan perbelanjaan yang dikeluarkan.
“Kami mengambil maklum apa yang dikehendaki Perdana Menteri dan saranan beliau, tak lain tak bukan adalah sikap kesegeraan dan juga kos menjalankan perniagaan supaya projek-projek yang kita laksanakan ada nilai untuk wang,” katanya.
Selain itu menurutnya, Anwar juga mengingatkan agar KKR meningkatkan prestasi sebagai kementerian pelaksana bagi projek pembangunan yang penting di negara ini.
Dalam pada itu, menjelang Aidilfitri, Nanta berkata banyak persediaan dibuat kementerian dan agensi-agensinya bagi memastikan perjalanan balik kampung yang selamat dan selesa kepada semua pengguna jalan raya.
*Foto : Facebook Alexander Nanta Linggi