20 MAC : Agihan pertama keuntungan Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) MADANI dijangka bermula seawal Julai depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata agihan itu mampu memberi impak besar kepada pelajar, usahawan serta golongan yang memerlukan.
“Alhamdulillah, Wakaf MARA MADANI mendapat sambutan yang amat menggalakkan, mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap inisiatif ini sebagai pemacu kekuatan dan daya tahan ekonomi Bumiputera.
“Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja, lebih RM51.6 juta telah dikumpulkan hasil sumbangan individu dan korporat yang yakin bahawa wakaf ini merupakan satu pelaburan jangka panjang demi kemajuan ummah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wakaf MARA MADANI dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Mac lalu sempena sambutan Hari MARA ke-59.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata hasil kutipan untuk wakaf itu akan diagih secara strategik.
“Dana ini akan digerakkan secara strategik bagi memastikan manfaatnya sampai kepada sektor yang benar-benar memerlukan seperti pendidikan, keusahawanan, kebajikan, kesihatan, pengangkutan dan pembangunan aset wakaf.
“Saya menyeru lebih ramai pihak untuk bersama menyertai gelombang kebaikan ini. Setiap ringgit yang diwakafkan bukan sekadar membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi Bumiputera yang lebih kukuh dan lestari,” katanya.
Beliau juga yakin dengan pengurusan yang telus dan komitmen semua pihak, Wakaf MARA MADANI akan menjadi satu lagi pemacu kejayaan ekonomi Bumiputera yang inklusif dan penuh keberkatan.
*Foto: Facebook Zahid Hamidi
*OLEH : HANUM RAJAK