20 MAC : Angka mangsa banjir di Johor mencatatkan peningkatan mendadak kepada 3,694 orang daripada 917 keluarga, setakat jam 8 malam ini akibat hujan lebat berterusan.
Kesemua mangsa ditempatkan di 84 pusat pemindahan sementara (PPS).
Jumlah mangsa banjir jam 2 petang tadi yang direkodkan 1,691 daripada 471 keluarga yang berlindung di 22 PPS.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan lima daerah terjejas setakat ini.
Lima daerah tersebut adalah Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Pontian.
“Johor Bahru mencatat peningkatan jumlah mangsa banjir yang paling besar dengan 1,288 orang daripada 207 keluarga ditempatkan di 19 PPS.
“Ini diikuti Kota Tinggi dengan 733 mangsa daripada 212 keluarga di 15 PPS; Pontian 688 orang daripada 192 keluarga di 19 PPS; Kulai 506 mangsa daripada 159 keluarga di tujuh PPS; dan Kluang 479 orang daripada 147 keluarga di 24 PPS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di enam daerah di Johor.
Ia diramalkan melanda daerah Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi sehingga esok.
Amaran hujan berterusan tahap waspada pula dikeluarkan bagi daerah Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat, juga dijangka hingga esok.
Selain itu, bacaan air sungai melepasi paras bahaya direkodkan di Sungai Batu Pahat, Sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Pulai, Sungai Skudai dan Sungai Jemaluang.
