Melaka tuan rumah pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026
20 MAC : Melaka sah dipilih sebagai tuan rumah pelancaran sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM2026) yang dijangka akan diadakan September ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, hari ini.
Menurut Tiong, kerajaan juga melulusan peruntukan bagi sambutan dan persediaan majlis itu di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri Melaka.
“Kita sudah setuju, begitu juga Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan pelancarannya akan kita lakukan semasa Hari Pelancongan Sedunia 2025 yang dijadualkan pada September ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Melaka 2025 di Bukit Cina, hari ini.
Menurutnya, semua pihak terutama penggiat industri pelancongan diminta bekerjasama untuk mempromosikan TMM2026 di pelbagai platform termasuk media sosial.
“Ini penting kerana kita mahu ekonomi berasaskan pelancongan ini berkembang pesat dan semua pihak terutama rakyat mendapat manfaatnya.
“Kita harus memastikan setiap sektor beroperasi dengan standard yang tinggi daripada peningkatan kualiti perkhidmatan kepada keselamatan dan kepuasan pelancong. Semua aspek ini akan memainkan peranan utama dalam memajukan industri pelancongan negara,” katanya.
Katanya, TMM2026 bukan sekadar acara namun ia misi negara untuk menetapkan standard baharu dalam industri pelancongan melalui inovasi, kelestarian dan kolaborasi tanpa kompromi.
*Foto : Facebook Dato’ Seri Tiong King Sing