20 MAC : Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 membolehkan Parlimen berfungsi sebagai sebuah institusi yang bebas dan berdaulat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata RUU itu mampu memperkukuh kebebasan institusi Parlimen dan ia satu kejayaan besar dalam usaha reformasi institusi negara.
“Kita serius menunaikan amanah dan janji. Parlimen sekarang di bawah Jabatan Perdana Menteri namun Perdana Menteri memilih untuk menyerahkan ini sebagai badan bebas.
“Sebab itu bila sebut reformasi institusi memang enak tetapi sukar nak dapat Perdana Menteri yang hendak serahkan kuasa tetapi kita terpaksa lakukan kerana ini akan memperkukuhkan semangat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.
Menurutnya, RUU itu akan membolehkan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 digubal.
Jelas Anwar, pindaan tersebut adalah kerangka untuk memperkukuh prinsip pengasingan kuasa sambil menegaskan pemisahan kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman itu penting untu dilaksanakan.
Anwar berkata Parlimen mesti mempunyai ruang kebebasan dalam memaknai erti reformasi.
Beliau menjamin RUU tersebut dapat memenuhi matlamat dan Dewan Negara dapat menjadi sebahagian daripada sejarah yang membantu membentuk negara yang lebih telus, berintegriti dan berwibawa.
*Foto : Facebook YB Senator Dr. Zulkifli Hasan