21 MAC : Kerajaan akan mula menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada hampir sembilan juta penerima yang layak, Isnin depan.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata STR kali ini membabitkan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion, tahun lalu.
“Kerajaan MADANI kekal peka akan keperluan golongan terbanyak dalam mengharungi beban kos sara hidup, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Peningkatan peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun 2025 sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion adalah ikhtiar kerajaan untuk meningkatkan martabat hidup rakyat secara saksama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, penerima sedia ada dan baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran fasa dua melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mengikut kategori kelayakan masing-masing.
“Pendekatan terkini kerajaan adalah membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi ruang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.
“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan,” katanya.
Kadar bayaran STR Fasa 2 mengikut kategori kelayakan di mana isi rumah kurang RM2,500 menerima antara RM150 hingga RM650 dan bagi isi rumah antara RM2,501 hingga RM5,00 menerima antara RM100 hingga RM300.
Sementara warga emas tiada pasangan dan golongan bujang menerima RM150.
*OLEH : HANUM RAJAK