22 MAC : Kementerian Komunikasi memaklumkan enam stesen pemancar telekomunikasi 5G di Johor terjejas akibat banjir.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata stesen pemancar yang terjejas itu melibatkan lima di daerah Johor Bahru dan satu lagi di Pontian.
“Semua stesen pemancar 5G ini terjejas akibat bekalan elektrik yang terhenti, namun begitu, ia tidak mengganggu perkhidmatan 4G.
“Justeru, situasi ini akan terus dipantau dan kita percaya stesen tersebut akan dapat beroperasi semula selepas bekalan kembali pulih,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewanraya Taman Senai Utama pada Jumaat.
Keadaan banjir di Johor dilaporkan semakin teruk dengan angka mangsa yang dipindahkan terus meningkat kepada 13,089 orang, 8 pagi ini.
Dalam pada itu, Nie Ching berkata kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyediakan Wi-Fi secara percuma di PPS yang merekodkan jumlah mangsa ramai.
“Secara keseluruhan empat PPS di Sabah telah dipasang Wi-Fi, sementara 12 di Sarawak dan dua di Johor.
“Di Johor membabitkan Dewanraya Taman Senai Utama dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu, sementara dua lagi akan dipasang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuo Kuang dan Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara,” katanya.
Selain itu, beliau memaklumkan kira-kira 8 juta Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) amaran awal bencana dihantar syarikat telekomunikasi kepada pengguna setakat November 2024 sehingga 10 Februari lalu.
“Pada November sahaja sebanyak 2.7 juta SMS sudah dihantar, sementara pada Disember 4.1 juta, sejuta pada Januari dan 13,700 setakat 10 Februari.
“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang telah membantu kerajaan menghantar amaran awal bencana,” katanya.
Beliau sempat menasihati orang awam agar sentiasa berwaspada dan mengambil berat amaran yang telah diberikan bagi mengelakkan daripada sebarang kejadian tidak diingini.
*Foto : Facebook Teo Nie Ching (张念群)