22 MAC : Pembelian pesawat baharu Malaysia Aviation Group (MAG) merupakan pelaburan bagi memperkukuh kedudukan negara sebagai pemain utama industri penerbangan global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata langkah itu juga menyokong operasi syarikat tersebut.
“Pembelian pesawat baharu Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) adalah pelaburan untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global.
“Boeing Composites Malaysia (BCM) juga menghasilkan struktur pesawat Boeing di Malaysia! Oleh itu, pembelian ini turut menyokong operasi BCM yang kini mempunyai 1,000 pekerja rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata usaha itu selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab aeroangkasa serantau menjelang 2030.
Semalam, MAG mengumumkan pembelian 30 pesawat baharu secara terus daripada Boeing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelaburan strategik itu bukan sekadar untuk memodenkan armada penerbangan negara tetapi juga untuk meningkatkan kecekapan, menambahbaik pengalaman penerbangan serta mendukung pertumbuhan sektor pelancongan dan perdagangan.
*Foto : Facebook Tengku Zafrul