22 MAC : Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 7 April depan.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pengumuman itu akan dibuat sempena Sambutan Aidilfitri Parlimen Tapah kelak.
Katanya, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membuat pengumuman tersebut bertempat di Rancangan Perumahan Tersusun Kampung Haji Tahir di Temoh.
“Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 peringkat kebangsaan dijangka diadakan pada 5 April depan di Melaka, jadi semua orang bakal ke sana.
“Pada keesokannya, kita turut mengambil kira orang ramai akan pulang ke kawasan masing-masing selepas seminggu berhari raya, jadi lebuh raya akan sesak.
“Oleh itu, kita akan mengadakan pengumuman berkenaan pada 7 April sempena Sambutan Aidilfitri Parlimen Tapah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Gerakan Koperasi Santuni Masyarakat Orang Asal Perak anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Tapah, hari ini.
Dalam pada itu, Saarani melahirkan harapan masyarakat Orang Asli akan terus memberi sokongan penuh kepada gabungan itu pada PRK tersebut.
Katanya, ia bagi memastikan BN dapat meneruskan usaha membantu rakyat.
Di DUN tersebut katanya terdapat 2,156 pengundi Orang Asli yang sebahagiannya berada di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahrudddin, 59 rebah akibat serangan jantung selepas beraksi dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian PRK DUN N48 Ayer Kuning ditetapkan pada 26 April.
Sementara tarikh penamaan calon pada 12 April dan hari pengundian awal pada 22 April.
Allahyarham menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 lalu mewakili Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.