22 MAC : Protes besar-besaran diadakan di beberapa bandar utama di Indonesia selepas Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) meluluskan pindaan kontroversi berkait Undang-Undang Tentera Nasional Indonesia (TNI), kelmarin.
Pindaan itu dilaporkan membolehkan anggota tentera yang aktif untuk menyertai jawatan dalam institusi awam tanpa perlu bersara lebih awal.
Namun pengkritik memberi amaran, langkah itu berisiko membawa republik itu kembali ke era autoritarian Orde Baru saat di bawah pemerintahan Suharto.
Pemerhati bimbang, langkah itu tiada lagi sempadan antara bidang ketenteraan dengan awam sekali gus menghakis prinsip demokrasi serta penguasaan awam ke atas angkatan tentera.
Mesyuarat pleno DPR pada 20 Mac menyaksikan sokongan sebulat suara terhadap pindaan itu termasuk parti pembangkang, Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P).
Kelulusan itu bagi menggantikan undang-undang asal yang digubal pada 2004 selepas kejatuhan Suharto pada 1998 bagi membataskan peranan TNI dalam urusan awam selepas puluhan tahun terlibat secara langsung.
Pindaan itu menambah jumlah institusi yang boleh disertai pegawai tentera kepada 14 selain meluaskan operasi bukan tempur TNI serta menaikkan umur persaraan anggota.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin yang mempertahankan pindaan itu berkata ia penting bagi membolehkan tentera menangani perubahan geopolitik dan cabaran keselamatan moden.
“Indonesia memerlukan strategi pertahanan yang realistik supaya dapat bertahan dalam menghadapi konflik konvensional dan tidak konvensional.
“Kami tidak akan mengecewakan rakyat Indonesia dalam menjaga kedaulatan negara,” katanya.
Beberapa jam sebelum pindaan itu diluluskan, mahasiswa mula berkumpul di pintu belakang kompleks Parlimen Senayan bagi melakukan bantahan dan angka peserta terus meningkat.
*Foto : Facebook Wacana Dunia MY