22 MAC : Pihak yang tiada kaitan dengan isu pemilihan tanah dan sebuah kuil di Jalan Masjid India dinasihatkan memberi ruang kepada rundingan bagi mencari jalan penyelesaian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga sedang menguruskan tanah gantian dalam isu tersebut.
“Memandangkan isu berita membabitkan pengurusan tanah gantian oleh DBKL, adalah lebih baik jika pihak luar memberi ruang kepada mereka untuk meneruskan rundingan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah meminta perkara itu diselesaikan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Komunikasi di IWK Eco Park @Pantai Dalam, hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan mengulas perkembangan kontroversi isu tanah milik swasta yang dibina Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan berlaku salah faham.
Katanya, pihak kuil juga sudah menyatakan pandangan mereka selain mengemukakan permohonan berkaitan beberapa lokasi alternatif sebelum ini dan proses itu sedang berjalan.
“Kawasan tanah berkenaan adalah milik swasta, bukan tanah kerajaan dan sudah dijual kepada pihak syarikat tekstil Jakel pada 2012.
“Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 yang diwartakan pada 2018 turut menetapkan penggunaan tanah terbabit berdasarkan pelan yang terpakai,” katanya.
Fahmi meminta semua pihak diminta berhati-hati ketika menyuarakan pandangan di media sosial berkait isu itu.
“Saya juga ingin memberi peringatan kepada semua pihak, terutama warganet agar berhati-hati dalam meninggalkan komen di media sosial.
“Saya dapati ada komen yang tidak wajar dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memantau perkara ini.
“Jika ada yang melanggar undang-undang, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Kelmarin, berlangsung perbincangan berkait perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di atas tanah milik Jakel Group berlangsung antara pihak syarikat, pengurusan kuil dan DBKL.
Menurut Jakel, tanah itu diwakafkan pengasas Jakel, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad untuk pembinaan masjid bagi kegunaan komuniti setempat.
Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporatnya, Aiman Darzuki berkata tanah itu milik penuh syarikat sejak 2012 selepas perjanjian pembelian dengan DBKL dimetrai.
“Tanah berkenaan diwakafkan pengasas Jakel, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad untuk tujuan pembinaan masjid bagi kegunaan komuniti setempat.
“Jakel memperoleh kelulusan pembangunan pada 2020 dan pelan bangunan pada 2021 untuk pembinaan masjid tiga tingkat dengan sub-basement.
“Namun, pembinaan masih ditangguhkan bagi menghormati kedudukan kuil yang masih beroperasi di lokasi tersebut,” katanya.