22 MAC : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan telur ayam di negara ini mencukupi dan stabil bagi memenuhi permintaan domestik.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan itu susulan kekeliruan yang timbul berikutan laporan media yang mengaitkan kenaikan harga telur di Amerika Syarikat (AS) dengan penyeludupan telur ke luar negara.
“KPKM ingin menjelaskan kekeliruan yang timbul daripada beberapa laporan media berkenaan kenaikan mendadak harga telur ayam di AS serta dakwaan kemungkinan berlaku penyeludupan telur ayam ke luar negara.
“Sehubungan itu, KPKM ingin memberi jaminan bahawa bekalan telur ayam di Malaysia kekal mencukupi dan stabil bagi memenuhi permintaan domestik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohamad, pihaknya memastikan tahap pengeluaran telur harian di negara ini stabil dan memuaskan.
“Bagi menjamin kestabilan bekalan, KPKM sentiasa melaksanakan pemantauan rapi ke atas rantaian pengeluaran dan pengedaran telur ayam dari peringkat ladang hingga ke pengguna akhir.
“Kerjasama erat antara KPKM dan para pengeluar telur tempatan telah memastikan tahap pengeluaran telur harian berada pada paras yang stabil dan memuaskan,” katanya.
Selain itu katanya, langkah penguatkuasaan juga terus diperkukuh dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi dan Kementerian lain bagi memantau aktiviti pengeksportan bekalan makanan ke luar negara.
“Kerajaan Malaysia melalui KPKM kekal komited dalam memastikan keterjaminan makanan negara melalui dasar dan pelan tindakan strategik yang menyeluruh termasuk usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan dan sokongan kepada industri agromakanan,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas dan sentiasa merujuk maklumat sahih melalui saluran rasmi KPKM. Katanya, kementerian akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya diperlukan demi memastikan kestabilan bekalan makanan negara sentiasa cukup dan terjamin.
*OLEH : HANUM RAJAK