22 MAC : Kestabilan politik dalam negara perlu dikekalkan bagi membantu kerajaan dan pemimpin fokus kepada pelbagai program pembangunan untuk rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Sabah di Tuaran, hari ini.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri (Sabah), Datuk Seri Hajiji Noor kerana dapat membantu menenangkan dan menyederhanakan suasana.
“Ini penting sebab apa? Kita mahu stabil, ini bantu kita fokus untuk rakyat kita juga,” katanya.
Beliau menegaskan pemimpin di negara ini perlu bersatu bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul.
“Jika bersatu kita dapat selesai masalah tetapi ada pemimpin yang masih hentam dan maki hamun sana sini, bergaduh pasal budaya, pasal bahasa…saya datang Sabah berjumpa dengan Hajiji dan kita tidak cakap pasal peribadi, tidak cakap pasal adakah untuk saya tanah atau balak.
“Saya tanya bagaimana mahu bantu miskin tegar, jalan berlubang…itu yang kita bincangkan. Terima kasih kepada Ketua Menteri dan pasukannya yang telah bekerja keras untuk membantu mengatasi masalah berkenaan,” katanya.
Selain itu menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri mampu mengangkat Sabah ke arah kemajuan.
“Kalau kita bekerjasama, kita dapat jadikan Sabah lebih maju, hebat dan berjaya. Kita kena kerja sekuatnya, ikhlas dan hentikan segala persengketaan.
“Dalam tempoh satu atau dua tahun, Sabah boleh berubah ke arah lebih maju,” katanya.
