24 MAC : Seorang guru disiasat selepas didakwa menyuruh pelajarnya yang tidak memahami Bahasa Melayu pulang ke China.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata siasatan mendalam dijalankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selain siasatan dijalankan pihak polis.
“Saya tegaskan KPM tidak kompromi dalam soal perkauman yang berlaku di sekolah, baik melibatkan guru mahupun pelajar atau mana-mana pegawai.
“Dalam kes ini, siasatan sudah pun berlangsung dan tindakan akan kita lakukan berdasarkan kepada siasatan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada 320 murid sekolah rendah sekitar Putrajaya bagi meringankan beban keluarga sempena sambutan Aidilfitri.
Dalam program itu, setiap murid menerima kad hadiah atau baucar membeli-belah bernilai RM100 serta pek sagu hati sumbangan beberapa syarikat swasta yang diselaraskan Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya.
Terdahulu, audio seorang guru didakwa mengaku memberitahu seorang pelajar sekolah menengah untuk pulang ke China yang tidak memahami bahasa Melayu tular di media sosial.
Melalui audio itu, seorang lelaki mendakwa saudara kepada pelajar tersebut meminta pengakuan guru itu dan guru terbabit mengaku berbuat demikian.
Sementara itu, mengulas soal banjir, Fadhlina memaklumkan KPM masih mengumpulkan maklumat berkait sekolah yang terkesan akibat banjir bagi menyelaras usaha membaik pulih.
“Kita akan terus memastikan bahawa sekolah-sekolah kita ini mendapat bantuan penyelenggaraan dengan segera supaya suasana kondusif dapat kita laksanakan untuk pembelajaran anak-anak,” katanya.
Setakat Disember 2024 hingga Januari lalu, Fadhlina berkata sebanyak RM26.4 juta diperuntukkan untuk kerja baik pulih sekolah di Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak yang terjejas akibat banjir.